SIJIL PENDAFTARAN
UNDANG-UNDANG:
UNDANG-UNDANG
BAGI
PERSATUAN WARISAN NUMISMATIK
KESULTANAN MELAYU, MALAYSIA
(THE MALAY SULTANATES INDIGENOUS
NUMISMATIC HERITAGE ASSOCIATION, MALAYSIA)
(MASDINAR)
FASAL 1. NAMA
(1) Persatuan ini dikenali dengan nama ’PERSATUAN WARISAN NUMISMATIK KESULTANAN MELAYU, MALAYSIA’ (THE MALAY SULTANATES INDIGENOUS NUMISMATIC HERITAGE ASSOCIATION, MALAYSIA), atau akronimnya: ”MASDINAR”
Selepas ini disebut ”Persatuan”.
FASAL 2. TEMPAT URUSAN
(1) Alamat, tempat urusan dan alamat surat menyurat Persatuan ialah: Suite 008-A, Rumah Alumni, Universiti Sains Malaysia, 11800 PULAU PINANG, MALAYSIA, atau di tempat lain yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa. Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.
FASAL 3. LAMBANG/LOGO
(1) Huraian Lambang:
Lambang / Logo Persatuan ini terdiri daripada dua unsur iaitu imej foto yang berwarna kuning emas dan tulisan yang berwarna hitam.
Imej foto yang digunakan ialah imej foto sebenar yang telah diadakan sedikit perubahan melalui teknologi komputer, bagi permukaan hadapan sekeping matawang emas ‘Kupang’ yang terdapat perkataan ‘SULTAN’ dalam huruf Jawi/Arab (permukaan belakangnya terdapat perkataan ‘Adilin’), yang pernah digunakan dalam zaman Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Shah, yang memerintah Negeri Kedah Darul Aman antara tahun 1710-1778 Masihi. Di bawahnya, sebagai tapak, terdapat tulisan huruf Roman (Lucida Calligraphy) : ‘MASDINAR’, iaitu singkatan nama bagi Persatuan ini, berwarna hitam.
(2) Pengertian Lambang:
Imej foto sebenar yang digunakan melambangkan ketinggian teknologi yang sentiasa menjadi arah tuju Persatuan ini.
Warna emas adalah simbol kepada kekuatan, kejayaan, kekayaan dan lambang kepada era kegemilangan yang berterusan. Warna hitam mempunyai sifat yang mendalam, lebih berpengalaman dalam mencari kebenaran yang belum tersingkap serta berdaya lasak dan tahan cabaran.
(3) Contoh logo adalah seperti di bawah:
MASDINAR
FASAL 4. TUJUAN / MATLAMAT
4.1. Menyusun dan menjalankan program Penyelidikan dan Pembangunan (RnD).
(i) Menggalakkan ahli-ahli supaya membuat penyelidikan dan mempelajari mengenai matawang Melayu.
(ii) Menyediakan informasi terkini mengenai numismatik Melayu kepada ahli-ahli, dalam bentuk ’newsletter’ / buletin (empat kali setahun) atau majalah (tahunan).
(iii) Menyediakan wadah untuk ahli-ahli mengemukakan hasil kajian atau penyelidikan, seperti dalam majalah atau ’website’.
(iv) Mengatur penerbitan hasil-hasil kajian ahli dalam bentuk buku, CD atau cenderamata (contoh: poskad).
(v) Menyediakan buku-buku atau ’prints’ berkaitan sejarah dan numismatik Melayu, dan menempatkannya dalam perpustakaan khas untuk rujukan ahli-ahli.
(vi) Mengatur bengkel-bengkel RnD untuk ahli-ahli, terutama pelajar-pelajar sekolah dan mahasiswa.
(vii) Mengatur pameran-pameran bahan numismatik untuk tontonan masyarakat supaya menggalakkan minat bagi mempelajari, mengkaji dan menyayangi bahan-bahan numismatik, khasnya numismatik Alam Melayu.
4.2. Mengatur kerjasama dengan kumpulan-kumpulan numismatik, agensi awam dan agensi swasta; baik dalam negara mahu pun antarabangsa.
(i) Menggalakkan ahli-ahli supaya berhubung dan bertukar maklumat antara sesama ahli.
(ii) Mengatur pertukaran bahan-bahan berkaitan numismatik Melayu di kalangan ahli.
(iii) Berusaha membina hubungan dan mengatur pertukaran bahan-bahan numismatik di kalangan persatuan-persatuan berkaitan numismatik, dalam dan luar negeri.
(iv) Mengatur lawatan-lawatan ke tempat berkaitan sejarah dan numismatik Melayu untuk galakan ahli-ahli.
(v) Menjana synergi dalam perhubungan dengan agensi-agensi kerajaan, swasta mahu pun perseorangan, yang berkaitan institusi warisan, untuk pengembangan penyelidikan dan pembangunan ilmu dan urusniaga dalam bidang berkaitan numismatik dan warisan Melayu.
4.3. Menjadi satu badan mencari, menyiasat, mengumpul dan membantu menyelamat objek warisan negara.
(i) Menyediakan khidmat atas permintaan, oleh ahli atau bukan ahli, bagi pensijilan bahan-bahan numismatik (authentication) dan khidmat penentuan ketulinan logam berkaitan numismatik (metallurgic assays).
(ii) Mengadakan kerjasama dengan badan-badan tertentu bagi pemeliharaan bahan-bahan numismatik.
4.4. Menyusun program bagi mencari sumber dana Persatuan supaya dapat berdiri sendiri.
(i) Mengadakan kerjasama dengan organisasi-organisasi berkaitan pencarian yang berlandaskan kerjasama-niaga.
FASAL 5. KEAHLIAN
(1) Keahlian Persatuan ini terdiri daripada SEMBILAN jenis, iaitu Ahli Kehormat, Ahli Seumur Hidup, Ahli Biasa, Ahli Siswa, Ahli Muda, Ahli Luar Negara (Warganegara Malaysia), Ahli International (International Member), Ahli Gabungan dan Ahli Gabungan-Bersekutu.
(2) Ahli Biasa dan Ahli Seumur Hidup berhak menikmati semua keistimewaan dalam Persatuan ini. Ahli Kehormat, Siswa, Muda, Luar Negara, International, Gabungan dan Gabungan-Bersekutu berhak menikmati semua keistimewaan dalam Persatuan kecuali hak mengundi dan tidak boleh memegang jawatan dalam pengurusan Persatuan.
(3) Syarat-syarat menjadi ahli Persatuan ini adalah seperti berikut:-
(i) Ahli Kehormat: Keputusan Menyuarat Agung dengan majoriti undian 2/3 ahli-ahli yang hadir dapat menentukan keputusan sesiapa yang dicadangkan bagi menjadi Ahli Kehormat, dari kalangan orang yang didapati telah memberi khidmat terhadap perkembangan numismatik Melayu, dari kalangan warganegara Malaysia atau bukan warganegara Malaysia.
(ii) Ahli Seumur Hidup: Sesiapa Ahli Biasa yang telah menjadi ahli selama 2 tahun atau lebih dan hendaklah ia seorang warganegara Malaysia, boleh dilantik menjadi Ahli Seumur Hidup, setelah permohonannya diluluskan oleh Ahli-Ahli Jawatan Kuasa dan telah membayar yuran sebanyak RM 500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus sahaja). Ahli ini tidak perlu lagi membayar Yuran Tahunan. Jumlah Ahli Seumur Hidup baru mestilah tidak melebihi 3 orang dalam setahun.
(iii) Ahli Biasa: Sesiapa di kalangan warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas boleh menjadi Ahli Biasa, dengan memohon dan membayar Yuran Kemasukan dan Yuran Tahunan seperti dalam Fasal 6.
(iv) Ahli Siswa: Sesiapa di kalangan warganegara Malaysia yang sedang menuntut di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta, baik Pelajar Ijazah Pertama atau Ijazah Lanjutan, boleh menjadi Ahli Siswa Persatuan ini, dengan syarat ia mendapat surat kelulusan dari Naib Canselor IPTA/IPTS berkaitan, kemudian memohon dan membayar Yuran Pendaftaran dan Yuran Tahunan seperti dalam Fasal 6. Ahli Siswa yang telah tamat pengajian, secara otomatik berubah menjadi Ahli Biasa tanpa perlu membuat permohonan baru, tetapi hendaklah membayar Yuran Tahunan sebagai Ahli Biasa.
(v) Ahli Muda: Sesiapa di kalangan warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 12 tahun dan ke atas boleh menjadi Ahli Muda, dengan kebenaran pihak sekolah dan ibu-bapa / penjaga ahli berkenaan, kemudian memohon dan membayar Yuran Pendaftaran dan Yuran Tahunan seperti dalam Fasal 6. Ahli Muda yang telah mencapai umur 18 tahun secara otomatik berubah menjadi Ahli Biasa dan pada tahun berikutnya ia perlu membayar Yuran Tahunan seperti Ahli Biasa tetapi tidak perlu membayar Yuran Pendaftaran semula. Ahli Muda yang berada di Pusat Pengajian Tinggi secara otomatik menjadi Ahli Siswa tanpa perlu membuat permohonan baru, tetapi hendaklah membayar Yuran Tahunan sebagai Ahli Siswa.
(vi) Ahli Luar Negara: Sesiapa di kalangan warganegara Malaysia (berada di luar negara) yang telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas boleh menjadi Ahli Luar Negara dengan membayar Yuran Pendaftaran dan Yuran Tahunan seperti dalam Fasal 6. Sesiapa yang tinggal di luar negara berumur di bawah 18 tahun tidak boleh memohon menjadi Ahli Muda.
(vii) Ahli International: Sesiapa di kalangan bukan Warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas boleh menjadi Ahli International, dengan mendapat persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa dan membayar Yuran Pendaftaran dan Yuran Tahunan seperti dalam Fasal 6.
(viii) Ahli Gabungan: Apa-apa gabungan Kelab atau Persatuan dalam Malaysia yang berminat dan selaras dengan tujuan Persatuan ini boleh menjadi Ahli Gabungan, dengan membayar Yuran Pendaftaran dan Yuran Tahunan seperti dalam Fasal 6.
(ix) Ahli Gabungan-Bersekutu: Apa-apa gabungan Kelab atau Persatuan yang berada di luar negara dan mempunyai minat dan tujuan bersesuaian dengan Persatuan ini boleh menjadi Ahli Gabungan-Bersekutu, dengan membayar Yuran Pendaftaran dan Yuran Tahunan seperti dalam Fasal 6.
(4) Permohonan menjadi ahli Persatuan, kecuali Ahli Kehormat dan Seumur Hidup, hendaklah dibuat dalam Borang khas ’Permohonan Keahlian’, dan hendaklah dicadangkan oleh seseorang yang telah menjadi ahli Persatuan ini dan dikemukakan kepada Setiausaha Kehormat. Permohonan itu hendaklah disertakan dengan Yuran Pendaftaran dan Yuran Tahunan.
(5) Sebarang permohonan menjadi ahli hendaklah dikemukakan oleh Setiausaha Kehormat kepada pihak Jawatankuasa, supaya dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa. Setelah diluluskan permohonan tersebut, pemohon adalah sah dan berhaklah ia sebagai ahli Persatuan ini.
(6) Setelah diluluskan, Setiausaha Kehormat akan memberitahu pada ahli baru tersebut, beserta dengan Resit Bayaran Yuran Pendaftaran dan Yuran Tahunan dan juga sesalinan Undang-Undang Persatuan. Suatu Kad Keahlian juga disertakan untuk ahli tersebut. Setelah itu nama ahli ini akan dimasukkan dalam Buku Daftar Keahlian beserta butir-butir pribadinya, dan dimasukkan dalam buletin bulanan Persatuan untuk pengetahuan ahli-ahli lain.
(7) Sekiranya permohonan menjadi ahli tidak diluluskan oleh Jawatankuasa dengan sebab tertentu, Setiausaha Kehormat hendaklah memberitahu pemohon tersebut tanpa menyatakan sebarang sebab, melalui Surat Berdaftar AR dan wang pemohon dikembalikan sepenuhnya. Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa adalah muktamad.
(8) Sebarang butiran yang tidak benar mengenai pemohon sekiranya didapati dalam borang permohonan boleh menyebabkan permohonannya terbatal dengan sendiri.
FASAL 6. YURAN PENDAFTARAN, YURAN TAHUNAN DAN BAYARAN LAIN
(1) Yuran Pendaftaran bagi Ahli Biasa dan Ahli Gabungan ialah sebanyak RM 20.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh sahaja). Yuran Pendaftaran bagi Ahli Siswa ialah sebanyak RM 10.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh sahaja). Yuran Pendaftaran bagi Ahli Muda ialah RM 5.00 (Ringgit Malaysia Lima sahaja). Yuran Pendaftaran bagi Ahli Luar Negara dan Ahli International ialah sebanyak US $ 10.00 (Dolar Amerika Sepuluh sahaja).
(2) Yuran Tahunan adalah sebagai berikut:-
(a) Ahli Biasa sebanyak RM 30.00 (Ringgit Malaysia Tiga Puluh sahaja).
(b) Ahli Gabungan sebanyak RM 50.00 (Ringgit Malaysia Lima puluh sahaja)
(c) Ahli Siswa sebanyak RM 10.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh sahaja)
(d) Ahli Muda: Tiada Yuran Tahunan.
(e) Ahli Luar Negeri, Ahli International dan Ahli Gabungan-Bersekutu sebanyak US $ 20.00 (Dolar Amerika Dua Puluh sahaja).
(3) Yuran Tahunan hendaklah dijelaskan oleh ahli-ahli sebelum 15 Januari bagi tahun tersebut. Sekiranya seseorang ahli gagal menjelaskan yurannya, Setiausaha Kehormat boleh mengeluarkan Surat Peringatan. Sekiranya ahli ini gagal membuat bayaran dalam tempoh sebulan, maka Jawatankuasa boleh bertindak menamatkan keahliannya.
(4) Seseorang ahli yang telah gugur keahliannya kerana gagal menjelaskan Yuran Tahunan boleh membuat rayuan bertulis kepada Jawatankuasa dengan menyatakan sebab-sebabnya. Rayuan ini hendaklah disertakan dengan tunggakan Yuran yang gagal dibayar sebelumnya, dengan tambahan RM 10.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh sahaja) sebagai Yuran Denda. Sekiranya Ahli Jawatankuasa berpuashati dengan alasan yang diberikan maka ahli ini boleh diterima semula dalam Persatuan ini.
FASAL 7. PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Kehormat dan menjelaskan segala hutangnya.
(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.
FASAL 8. MESYUARAT AGUNG DAN MESYUARAT AGUNG KHAS
(1) Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah Ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat. Undian melalui proksi tidak boleh digunakan untuk mengira korum kehadiran.
(2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup juga selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.
(3) Dalam apa-apa Mesyuarat Agung tiap-tiap ahli hanya mempunyai satu hak mengundi bagi tiap-tiap proses undian yang dijalankan, kecuali Presiden yang mempunyai satu undi asal dan satu undi pemutus (Casting vote).
(4) Jawatankuasa hendaklah menentukan susunan perkataan dalam Borang Proksi yang hendak digunakan dalam Mesyuarat Agung. Borang Proksi yang telah disahkan hendaklah dihantarkan bersama notis mesyuarat, yang dihantarkan kepada ahli-ahli dibawah Fasal 8 (6). Semua Borang Proksi yang telah diisikan hendaklah sampai kepada Setiausaha Kehormat sekurang-kurang 3 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung.
(5) Notis Mesyuarat hendaklah dihantar oleh Setiausaha Kehormat sekurang-kurang 14 hari sebelum tarikh mesyuarat kepada semua ahli. Dalam semua Notis Mesyuarat ini, Setiausaha Kehormat hendaklah menyatakan masa, tempat dan agenda Mesyuarat berkenaan. Juga disertakan salinan peringatan (minit) mesyuarat, laporan, penyata kira-kira bagi tahun yang lalu yang telah diaudit dan juga Borang Proksi Undi yang telah disahkan. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.
(6) Mesyuarat Agung (Dwi-Tahunan) Persatuan ini hendaklah diadakan tiap-tiap 2 tahun sekali; pada masa, tarikh dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa, tetapi tidak lewat dari tarikh 31 hb Julai. Kerja-kerja Mesyuarat Agung hendaklah:-
(a) Menerima minit Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan sebelumnya dan Mesyuarat Agung Khas.
(b) Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Persatuan di dalam sesi yang lalu.
(c) Menerima laporan Bendahari Kehormat dan penyata kewangan yang telah diaudit, bagi 2 tahun sebelumnya, dengan cara berasingan/ berturut-turut.
(d) Melantik suatu Jawatankuasa (Pegawai Persatuan) dari kalangan Ahli Biasa dan Seumur Hidup, untuk 2 tahun kehadapan.
(e) Melantik sekurang-kurangnya 2 orang Juru Audit, dari kalangan ahli atau bukan ahli Persatuan ini, dan
(f) Membincangkan usul-usul lain yang telah dikemukakan.
(7) Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:
(a) bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau,
(b) atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklan dihantar kepada Setiausaha Kehormat Persatuan.
(8) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.
(9) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Kehormat kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk mesyuarat.
(10) Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Masyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.
(11) Setiausaha Kehormat hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan (minit) tiap-tiap Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.
FASAL 9. JAWATANKUASA
(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Persatuan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung (Dwi Tahunan):
Seorang Presiden
Seorang Naib Presiden
Seorang Setiausaha Kehormat
Seorang Bendahari Kehormat
Tujuh orang Ahli Jawatankuasa Biasa.
(2) Pemegang-Pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia di kalangan Ahli Biasa dan Ahli Seumur Hidup.
(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap dua tahun.
(4) Pemilihan seseorang Ahli Jawatankuasa (Pegawai Persatuan) hendaklah dibuat oleh Ahli Biasa dan Ahli Seumur Hidup yang hadir dalam Mesyuarat Agung, atau melalui Borang Proksi Undi yang telah disahkan dan memenuhi syarat seperti dalam Fasal 8 (4). Pencalonan hendaklah mendapat sokongan oleh seorang ahli lain dan seseorang ahli hanya boleh mengundi sekali sahaja untuk pemilihan satu jawatan.
(5) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam dua tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan.
(6) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 4 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa 7 hari terlebih dahulu. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang Ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan Ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
(7) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan Mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Kehormat bolehlah mendapatkan kelulusan dari Ahli-Ahli Jawatankuasa secara pengedaran Surat Pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:-
(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam Surat Pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap Ahli Jawatankuasa.
(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan Ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.
Sebarang keputusan yang didapati melalui Surat Pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Kehormat kepada Mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan (minit) mesyuarat.
(8) Seseorang Ahli Jawatankuasa (Pegawai Persatuan) yang mungkir menghadiri menyuarat tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan dan kelihatan tidak berminat dalam perjalanan Persatuan ini akan disifatkan telah meletak jawatan di dalam Jawatankuasa.
(9) Jika seseorang Ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan diadakan.
(10) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha Kehormat dan Pegawai-Pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.
(11) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang Ahli Jawatankuasa. Seseorang ahli Persatuan boleh diminta untuk bertugas sebagai Ahli Jawatankuasa Kecil dan sekurang-kurang seorang Ahli Jawatankuasa (Pegawai Persatuan) hendaklah berada dalam Jawatankuasa Kecil tersebut.
FASAL 10. KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI
(1) Presiden hendaklah mempengerusikan Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia juga boleh hadhir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan (minit) mesyuarat bila telah diluluskan. Ia juga hendaklah menendatangani semua cek Persatuan ini, bersama Bendahari Kehormat atau Setiausaha Kehormat.
(2) Naib Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.
(3) Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha Kehormat hendaklah menyimpan buku Daftar Ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Setiausaha Kehormat hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung diadakan mengirimkan penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1), Akta Pertubuhan, 1966. Ia juga hendaklah menandatangani semua cek Persatuan ini, bersama Presiden atau Bendahari Kehormat.
(4) (a) Bendahari Kehormat hendaklah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia juga hendaklah menyediakan laporan kewangan bagi sesi 2 tahun yang berasingan untuk dikemukakan dalam Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan. Bendahari yang telah tamat perkhidmatan hendaklah menyerahkan ’sijil serahan’ bagi semua aset dan dokumen selepas proses perlantikan baru. Bendahari hendaklah menandatangani semua cek bayaran yang dikeluarkan oleh Persatuan ini bersama Presiden atau Setiausaha Kehormat.
(b) Bendahari Kehormat juga hendaklah menyediakan Pelan Cadangan Kewangan untuk masa ke hadapan, dengan mengambil kira aktiviti-aktiviti Persatuan seperti Seminar, Pameran atau Penerbitan dan perkara-perkara lain yang bersesuaian, dan mengemukakannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa.
(5) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.
(6) Ahli-Ahli Jawatankuasa juga tertakluk dalam tatacara rahsia mengenai perbincangan-perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa. Jawatankuasa juga mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan pada Ahli Jawatankuasa yang melanggar peraturan rahsia, dengan menyebarkan butir perbincangan menyuarat kepada ahli bukan Jawatankuasa atau orang lain yang tidak berkenaan dengan Persatuan ini, atau menyebabkan orang-orang tidak berkenaan tersebut memperoleh butir-butir mesyuarat yang sepatutnya dirahsiakan.
FASAL 11. KEWANGAN DAN ASET
(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuk belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimana pun, wang ini tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.
(2) Bendahari Kehormat dibenarkan menyimpan Wang Runcit tidak lebih daripada RM 500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih dari jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang di luluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.
(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh dua daripada 3 pemegang utama jawatan Persatuan ini yang terdiri dari Presiden, Setuausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat. Semasa ketiadaan Presiden, Setiausaha Kehormat atau Bendahari Kehormat maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan.
(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM 1000.00 (Ringgit Malaysia Seribu sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 5,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 1,000.00 (Ringgit Malaysia Seribu sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan bersama oleh Presiden, Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat.
(5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setiap tahun hendaklah disediakan oleh Bendahari Kehormat dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung (Dwi Tahunan) yang berikut. Satu salinan akaun yang telah diaudit bagi setiap tahun dalam sesi sebelumnya, hendaklah dihantar kepada semua ahli Persatuan mengikut alamat dalam simpanan rekod Persatuan, oleh Setiausaha Kehormat, selewat-lewatnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung dan dipamirkan ditempat urusan mesyuarat untuk makluman ahli.
(8) Tahun kewangan Persatuan ini hendaklah bermula dari 1 hb Januari dan berakhir pada 31 hb Disember setiap tahun.
(9) Persatuan ini boleh mengadakan hubungan bisnes, memiliki harta dan menubuhkan anak-syarikatnya jika difikirkan perlu. Sebarang keputusan muktamad berkaitan ini hendaklah diputuskan dalam Mesyuarat Agung.
(10) Semua aset milik Persatuan ini, tetap atau mudah-alih, hendaklah atas nama Persatuan dan dicatatkan dalam Buku Daftar yang disimpan oleh Persatuan ini. Tidak ada hakmilik Persatuan ini yang boleh dilupuskan tanpa kelulusan Jawatankuasa. Sebelum keputusan dibuat oleh Jawatankuasa untuk melupuskan sesuatu hakmilik Persatuan, atau bahan-bahan numismatik, yang nilainya RM 1000.00 (Ringgit Malaysia Seribu sahaja) dan ke atas, hendaklah diluluskan sebulat suara oleh Jawatankuasa, dengan memberikan alasan yang munasabah, dan juga hendaklah mendapat kelulusan sebulat suara Ahli-Ahli Lembaga Amanah secara bertulis.
FASAL 12. PEMERIKSAAN KIRA-KIRA
(1) Dua orang Juru Audit hendaklah dilantik dalam Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan, tetapi bukan dari kalangan Pegawai Persatuan, yang bertugas selama Satu Penggal (2 tahun) dan mereka boleh dilantik semula sekiranya dikehendaki.
(2) Pemeriksa Kira-Kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setiap tahun berasingan bagi dua tahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.
FASAL 13. LEMBAGA AMANAH (BOARD OF TRUSTEES)
(1) Persatuan ini boleh menubuhkan Lembaga Amanah (Board of Trustees), yang diamanahkan untuk menjaga dan mengawal apa-apa harta Persatuan yang harganya RM 1000.000 (Ringgit Malaysia Seribu sahaja) dan ke atas. Tiga orang Pemegang Amanah, mana-mana dari kalangan Warganegara Malaysia yang berumur lebih daripada 21 tahun yang difikirkan sesuai, boleh dilantik oleh Mesyuarat Jawatankuasa, dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Semua harta tetap milik Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).
(2) Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Persatuan.
(3) Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Jawatankuasa oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pengamanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pemegang Amanah yang baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Jawatankuasa.
FASAL 14. TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
(1) Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.
(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.
FASAL 15. PENASIHAT DAN PENAUNG
(1) Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang yang layak menjadi Penasihat dan Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.
FASAL 16. LARANGAN
(1) Permainan yang bersifat judi, iaitu yang bergantung semata-mata kepada nasib, tidak boleh dimainkan di dalam tempat urusan Persatuan ini;
(2) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli sahaja atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawai atau Jawankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;
(3) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959;
(4) “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.
FASAL 17. PINDAAN UNDANG-UNDANG
(1) Undang-Undang ini tidak boleh diubah atau di pinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang itu hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
FASAL 18. PEMBUBARAN
(1) Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.
(2) Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.
(3) Keputusan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.
LOGO MASDINAR:
MASDINAR
FASAL 3: LAMBANG / LOGO
(1) Huraian Lambang:
Lambang / Logo Persatuan ini terdiri daripada dua unsur iaitu imej foto yang berwarna kuning emas dan tulisan yang berwarna hitam.
Imej foto yang digunakan ialah imej foto sebenar yang telah diadakan sedikit perubahan melalui teknologi komputer, bagi permukaan hadapan sekeping matawang emas ‘Kupang’ yang terdapat perkataan ‘SULTAN’ dalam huruf Jawi/Arab (permukaan belakangnya terdapat perkataan ‘Adilin’), yang pernah digunakan dalam zaman Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Shah, yang memerintah Negeri Kedah Darul Aman antara tahun 1710-1778 Masihi. Di bawahnya, sebagai tapak, terdapat tulisan huruf Roman (Lucida Calligraphy) : ‘MASDINAR’, iaitu singkatan nama bagi Persatuan ini, berwarna hitam.
(2) Pengertian Lambang:
Imej foto sebenar yang digunakan melambangkan ketinggian teknologi yang sentiasa menjadi arah tuju Persatuan ini.
Warna emas adalah simbol kepada kekuatan, kejayaan, kekayaan dan lambang kepada era kegemilangan yang berterusan. Warna hitam mempunyai sifat yang mendalam, lebih berpengalaman dalam mencari kebenaran yang belum tersingkap serta berdaya lasak dan tahan cabaran.